Monday, May 4, 2009

Aku, Buku dan Cinta

Rindu saya pada kampong halaman tidak terbedung lagi, rindu pada ayah dan ibu sudah tidak dapat saya sembunyikan lagi, kerap kali saya mainkan lagu kasih ibu nyanyian Far-East di laptop kesayangan. Laptop yang sudah hampir setahun saya beli setelah laptop yang pertama dulu telah saya “sedekahkan” kepada “ si pengemis”. Mungkin laptop itu banyak kemungkaran didalamnya sehinggakan Allah “bagi percuma” laptop kesayangan itu kepada “si pengemis” yang tidak ketahuan fizikal tubuh beliau.

Kadang-kadang rasa iri hati dan cemburu melihat rakan-rakan jemaah yang sentiasa menambah ilmu dengan pembacaan buku-buku samada buku haraki, buku pemikiran, malahan juga buku-buku motivasi. Kecemburuan itulah yang memimpin derapan kaki saya menuju ke sebuah gedung buku di medan ilmu, Kota Bharu. Gedung yang cukup sinonim dengan buku-buku agama dan pelbagai buku lagi, Syarikat Jaffar Rawas.

Saya cukup sedar dan mengerti bahawa keluarnya pimpinan-pimpinan yang hebat, aliran pemikiran-pemikiran yang kritis dan kreatif dalam jemaah adalah hasil daripada kajian dan pembacaan. Saya pun cukup teruja untuk mencapai tahap sedemikian. Akan tetapi, saya seorang yang sukar untuk membaca, kalau nak baca buku-buku haraki, pemikiran, motivasi cukup liat, lebih liat daripada tanah liat yang saya gunakan untuk menakung air dalam tab mandi di laman BA untuk memelihara ikan. Tetapi yang anehnya, saya mampu untuk membaca novel-novel yang tebal dalam beberapa hari sahaja.

Hari itu, di kedai buku SJR (Syarikat Jaffa Rawas), saya terjumpa dengan sahabat lama yang turut membelek-belek buku disitu. Setelah bersalaman dan berbual lebih kurang saya berseloroh dengannya. “Aii, beli buku lagi ko”. Hari tu dia dah habiskan hampir RM200 membeli buku di pesta buku KLCC. “Kawe ni, gi mano-mano mesti keno nga buku” jawabnya ringkas. Terkesima sekejap.

Saya berfikir, didalam kepala “Aku pun kena jadi golongan yang suka membaca macam orang lain”. Lantas saya membelek-belek dan mencari-cari judul-judul buku yang terasa berkenan dihati. Sudah hampir sejam, masih tidak saya temui buku yang berkenan dihati. Saya tawaf lagi banjaran-banjaran buku yang tersusun. Ternampak sebuah buku berkulit hijau karangan Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qrani yang bertajuk Aku, Buku dan Cinta. Memang sudah menjadi tabiat saya sebelum membeli mana-mana buku atau novel, perkara pertama yang saya lihat selepas tajuk buku adalah synopsis.

Setelah membaca seketika synopsis buku ini, “Mungkin inilah buku yang boleh membantu aku menanam minat untuk membaca buku-buku ilmiah yang lain” berkata saya dalam hati. Tanpa berlengah lagi saya terus membeli buku itu dan sebuah novelette kecil yang berjudul Bidadari Dari Timur. Mudah-mudahan sedikit usaha ini bakal membuahkan hasil yang memuaskan.


رَبَّنَا لاَتُزِغْ قُلُوبَنَابَعْدَإِذْهَدَيْتَنَاوَهَبْ لَنَامِن لَّدُنكَ رَحْمَةًإِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ



No comments: